Monday, June 6, 2011

Jambu terus gah MAHARAJA LAWAK

PENAMPILAN gaya dua rockers yang kurang upaya mengadakan konsert, berjaya menambat hati ribuan penonton dan panel juri apabila Pusat Sukan Arena Antarabangsa (PISA) Pulau Pinang bergema dengan sorakan dan tepukan gemuruh lebih 10,000 penonton.
Itulah kelebihan dimiliki Jambu yang dianggotai Yusry Edoo dan Zamaratul Amri Zakaria (Taukeh) apabila Maharaja Lawak minggu ke-10 yang diadakan di lokasi jelajah di Pulau Mutiara, mendapat sambutan. 

Tugasan selama tujuh minit yang diberikan untuk membuat persembahan, digunakan sebaik mungkin di samping jenaka yang bersahaja membuatkan penonton tidak kering gusi. 


Sebelum persembahan dimulakan, jumlah peratusan undi mereka amat berbeza apabila Jambu hanya mendapat kedudukan keempat dengan 19 mata manakala peserta lain, Jozan (29 peratus) diikuti Sepah (27), Nabil (21) dan R2 hanya lima peratus.




Bagaimanapun, itu bukan alasan untuk Jambu cepat melatah dan hilang semangat sebaliknya terus melakukan usaha terbaik dan akhirnya berjaya apabila selepas persembahan, kedudukan Jambu berubah secara mendadak serta merampas kedudukan Jozan, Sepah dan mengungguli tempat teratas serta mendapat pujian juri profesional.




Jambu memperoleh 59 peratus diikuti Sepah dan Jozan (55), Nabil (50) dan R2 (33 peratus), membuatkan Jozan, Nabil dan R2 berada pada kedudukan tiga kumpulan mendapat undian paling rendah. Ketiga-tiga mereka perlu bekerja keras untuk memastikan tidak tersingkir walaupun minggu ini tiada sebarang penyingkiran. 



Juri profesional terdiri daripada Mamat Khalid, Ahmad Idham dan Saiful Apek, memberikan pelbagai komen termasuk menegur persembahan Nabil yang kurang mantap seperti kehilangan punca, begitu juga R2. 



Persembahan minggu ke-10 dilihat agak menarik dan setiap peserta menampilkan gaya serta kehidupan gender manusia seperti lelaki lembut, wanita mengandung, tukang gunting dan budak gemuk. 



Bagi Yus, walaupun Jambu diberi pujian mereka tetap merendah diri. Katanya, mereka tekankan ‘punch line’ yang dilakukan setiap 15 saat secara bergilir-gilir. 



“Apa yang kami harapkan, penonton dan peminat terhibur kerana kami akan senantiasa menampilkan kelainan untuk setiap tugasan supaya meninggalkan kenangan seperti lawak jenaka pada minggu-minggu sebelumnya. 



“Saya amat berterima kasih kepada Saiful Apek kerana memberi pandangan positif apabila memuji usaha menggambarkan dua rockers yang kurang upaya sehingga mengamit sorakan dan tepukan penonton. 



“Biarpun memuji setiap minggu persembahan yang konsisten, beliau sempat berpesan agar tidak terlalu selesa kerana untuk menjadi juara, perlu kekalkan prestasi yang baik,” katanya. 



Bagi Nabil, teguran diberikan Mamat Khalid diambilnya dengan tangan terbuka kerana dia beraksi secara berseorangan dan mengaku punch line kurang selain menekankan elemen nasihat dan teguran. 



Baginya, dia tidak langsung memandang rendah golongan berbadan besar kerana ianya adalah gurauan semata-mata, namun percaya apa yang berlaku disebabkan tumpuan dan fokus secara tiba-tiba hilang. 



“Sekiranya minggu ini saya tersingkir, pastinya ramai yang terkejut. Bagaimanapun, sedia menerimanya dengan rasa terbuka biarpun sebelum ini setiap minggu menerima pujian juri. 



“Suka atau tidak, bukannya masalah dan menyerahkan kepada peminat untuk menilai serta memohon keberkatan Allah SWT,” katanya. 



Sementara itu, pasangan adik-beradik yang kembali beraksi di pentas Maharaja Lawak melalui undian masuk, R2 melahirkan rasa kecewa terutama Ridhzuan apabila gugup melihat penonton yang ramai. 



Ridhzuan berkata, dia seperti tidak menyangka kehadiran penonton yang ramai membuatkan punch line yang dilakukan seolah-olah hilang. Namun sokongan abang, Rahim membuatkan dirinya tabah menghadapi. 



“Apa yang penting, R2 akan berusaha sedaya upaya walaupun berada pada kedudukan terbawah dan mengharapkan sokongan peminat agar terus mengundi R2,” katanya. 



Bagi Ketua Saluran Astro Warna, Nizam Sani berkata, dia melahirkan rasa terharu dengan sambutan luar jangkaan penonton apabila lokasi pertama di PISA, berjalan lancar. 



Katanya, walaupun mereka terpaksa berbaris panjang mengambil pas percuma yang diberikan selama dua hari, objektif Astro memberi penghargaan kepada penonton tercapai. 



“Ini jelas dilihat pada wajah penonton yang hadir tergambar kepuasan walaupun ada yang menyangka berlaku penyingkiran. Namun segalanya meleset dan semua peserta selamat. 



“Penyingkiran tetap akan berlaku dan mungkin minggu depan atau minggu seterusnya kerana setiap minggu tetap ada kejutan. Saya mengharapkan sokongan penonton tidak akan terhenti begitu saja,” katanya. 



Lokasi seterusnya ke Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuantan Pahang, Jumaat ini dan lokasi terakhir di Dewan Tertutup Majlis Perbandaran Johor Bahru, 17 Jun depan.

No comments:

Post a Comment